Isnin, 22 September 2008

Kefardhuan Ibadah Zakat Fitrah

Assalamualaikumwarahmatullah Saudara-Saudari Pembaca Yang Dikasihi.

Saya di sini ingin mengingatkan diri saya sendiri dan saudara-saudara pembaca tentang satu ibadah yang Allah swt fardhukan kepada kaum muslimin pada akhir bulan Ramadhan iaitulah Zakat Fitrah.

Saya ada mengutip tentang hukum-hakam berkaitan Zakat Fitrah berdasarkan mazhab Imam Syafi'e rahimahullah.Selamat membaca.Kalau ada sebarang kesulitan dalam memahaminya harap dimaafkan.Untuk lebih jelas bolehlah bertanya kepada orang yang bertakhassus dan mahir dalam bidang fiqh dan thiqah(dipercayai).

ZAKAT FITRAH

Pengertian

Zakat Fitrah ialah harta pada kadar tertentu yang wajib dikeluarkan ketika terbenam matahari pada hari terakhir ramadhan, dengan syarat-syarat tertentu ke atas setiap mukallaf dan orang yang di bawah tanggungannya.

Pensyariatannya

Masyhur dalam As-Sunah bahawa zakat difardhukan pada tahun kedua hijrah iaitu pada tahun difardhukan puasa bulan Ramadhan.

Dalil wajib Zakat Fitrah ialah hadis riwayat Bukhari(1433) dan Muslim(984). Lafaz hadis daripada Ibnu Umar r.a. katanya:

"Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ke atas setiap orang sama ada orang merdeka atau hamba,lelaki atau perempuan daripada kalangan orang Islam, dengan satu gantang tamar atau satu gantang gandum."

Hikmah Disyariatkan Zakat Fitrah

Disyariatkan Zakat Fitrah supaya ia menjadi penyucian bagi diri orang yang berpuasa.Ini kerana, mungkin di dalam ibadah puasa tadi berlaku perkara-perkara yang sia-sia atau perkataan-perkataan yang keji yang dilakukan oleh seseorang yang berpuasa.

Ia juga bertujuan memenuhi keperluan orang-orang yang fakir miskin serta memberi kelapangan dan kegembiraan kepada hati mereka sehingga mereka tidak merasai kepahitan yang mereka alami ketika kaum muslimin yang lain menyambut hari raya dengan bergembira bersama makanan dan pakaian untuk keluarga mereka.

Maka di sinilah wujudnya sikap tolong-menolong dan sifat kasih-mengasihi di antara kaum muslimin.Di samping itu, zakat juga bertujuan mendekatkan diri kepada Allah swt dan membersihkan diri orang yang berpuasa daripada dosa-dosa yang dilakukan sepanjang dia berpuasa.Ini kerana amalan kebaikan itu memberi kesan yang baik dalam menghapuskan dosa dan kesalahan.Sabda Rasulullah saw,"…dan ikutilah amalan yang buruk itu dengan amalan yang baik,nescaya ia akan menghapuskannya." (Riwayat Ahmad dan Tarmizi)

Syarat-Syarat Wajib Zakat Fitrah
Zakat fitrah diwajibkan dengan tiga syarat:

Pertama:Islam.Oleh itu, ia tidak diwajibkan ke atas orang kafir dengan suatu kewajipan yang dituntut di dunia ini berdasarkan hadis terdahulu daripada Ibnu Umar r.a.

Kedua:Terbenam matahari pada hari akhir Ramadhan.Oleh itu. Sesiapa yang meninggal dunia selepas terbenam matahari pada hari tersebut diwajibkan Zakat Fitrah ke atasnya sama ada dia mati setelah dia mampu mengeluarkannya ataupun mati sebelum daripada itu.Ini berlainan dengan sesiapa yang dilahirkan selepas terbenam matahari, dia tidak diwajibkan mengeluarkan zakat.Begitu juga sesiapa yang mati sebelum terbenam matahari,dia tidak diwajibkan mengeluarkan Zakat Fitrah.Berlainan pula dengan sesiapa yang dilahirkan sebelum terbenamnya matahari,dia diwajibkan mengeluarkan Zakat Fitrah.

Ketiga:Memiliki harta yang melebihi keperluan makanan untuk diri dan tanggungannya pada hari raya dan malamnya, serta keperluan untuk tempat tinggal dan khadamnya jika dia memerlukan kepada khadam.Jika hartanya tidak mencukupi untuk perbelanjaan atau nafkah pada hari raya dan malamnya untuk diri dan orang-orang yang dibawah tanggungannya, maka dia tidak dikenakan Zakat Fitrah.Jika dia mempunyai harta yang cukup untuk hari raya dan malamnya,tetapi tidak cukup untuk hari-hari selepas itu, dia diwajibkan juga mengeluarkan Zakat Fitrah dan alasan tidak cukup untuk hari-hari selepas itu tidak diambil kira.

Golongan Yang Seseorang Mukallaf Wajib Mengeluarkan Zakat Fitrah Untuk Mereka

Sesiapa yang cukup ketiga-tiga syarat di atas, wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya seperti kedua ibu bapa,datuk,nenek, anak-anak dan isterinya.

Oleh itu,tidak wajib mengeluarkan Zakat Fitrah kepada anak yang sudah baligh yang mampu berusaha sendiri mencari rezeki, dan juga kepada sesiapa sahaja dari keluarga terdekat yang tidak ditaklifkan kepadanya untuk memberi nafkah(yang bukan di bawah tanggungannya) .Malah tidak sah mengeluarkan Zakat Fitrah bagi pihak mereka kecuali dengan izin dan sebagai wakil mereka.

Jika dia mempunyai sedikit kemampuan yang tidak mencukupi untuk semua kaum keluarga yang berada di bawah tanggungannya, maka dia hendaklah mendahulukan dirinya, kemudian isterinya, anaknya yang kecil, ayah kemudian ibunya dan seterusnya anaknya yang telah dewasa yang tidak mampu berusaha sendiri mencari rezeki.

Zakat Fitrah;Jenis Dan Kadarnya

Jenis dan kadar Zakat Fitrah ialah segantang makanan asasi bagi sesebuah negeri yang seseorang mukallaf bermukim di dalamnya.

Ini berdasarkan hadis Ibnu Umar r.a. yang telah lalu.Dan hadis riwayat Al-Bukhari(1439) daripada Abi Said Al-Khudri r.a. katanya:

"Kami telah mengeluarkan Zakat Fitrah di zaman Rasulullah saw pada Hari Raya Aidil Fitri segantang makanan.Makanan kami ialah gandum,anggur kering,keju dan tamar."

Gantang yang digunakan oleh Rasulullah saw menyamai 4 cupak.Ia menyamai 3 altar ataupun lebih kurang 2,400 gram.

Makanan asasi di negara kita(pengarang tinggal di Syria) sekarang ialah gandum.Oleh itu Zakat Fitrah yang wajib ke atas setiap individu ialah sama dengan 3 altar.Dalam mazhab Imam Syafi’e rhm,ia tidak memadai jika dikeluarkan dengan nilaian(Wang dan seumpamanya) .Bahkan mesti dikeluarkan makanan asasi bagi sesebuah negeri itu sendiri.

Walau bagaimanapun, di zaman sekarang tidak mengapa mengikut mazhab Imam Abu Hanifah rhm dalam masalah tersebut iaitu harus mengeluarkannya dengan nilaian.Ini kerana pada hari ini mengeluarkannya dengan nilaian lebih memberi manfaat kepada orang fakir daripada makanan asasi dan lebih dekat untuk mencapai matlamat yang diharapkan.

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah:

Pertama:Waktu wajib telahpun kita nyatakan iaitu mulai terbenamnya matahari pada hari akhir bulan Ramadhan.

Kedua:Waktu harus mengeluarkannya ialah di sepanjang bulan Ramadhan dan hari raya pertama.

Ketiga:Waktu sunat mengeluarkannya ialah pada subuh hari raya sebelum keluar untuk sembahyang hari raya.Ini dinyatakan dalam hadis Ibnu Umar r.a. dan juga dalam hadis riwayat Al-Bukhari(1432) : "Dan Baginda memerintahkan supaya kamu menunaikan (zakat fitrah) sebelum orang ramai keluar pergi sembahyang."

Keempat:Waktu makruh mengeluarkannya ialah selepas sembahyang hari raya hingga akhir hari raya.

Kelima:Sekiranya dia melewatkannya tanpa uzur hingga selepas dari itu(selepas terbenam matahari pada hari raya), maka dia berdosa dan wajib mengqada’kannya.Diharamkan melewatkannya itu kerana dengan melewatkannya itu,maka hilanglah maksud yang dikehendaki dengan zakat iaitu memberi kecukupan kepada fakir miskin agar mereka tidak meminta-minta pada hari yang penuh dengan kegembiraan ini.

Wallahua'lam

Sumber Rujukan:Fiqh Manhaji bagi Mazhab Imam Syafi'e rhm

1 ulasan:

BroHamzah berkata...

Assalamualaikum, terima kasih atas artikel sebegini.Ana memang dok nantikan sebagai rujukan daripada yang lebih arif.Syukran ya akhi